Station Controller: Nadi Kelancaran Operasi Stesen

Setiap hari, Rapid KL menerima jutaan pelanggan yang bergantung kepada perkhidmatan rel termasuk MRT untuk ke destinasi masing-masing. Namun, tidak ramai yang menyedari bahawa di sebalik setiap tren dan operasi stesen yang , terdapat sekumpulan petugas yang sentiasa bersiap siaga memantau setiap pergerakan bagi memastikan perjalanan pelanggan kekal selamat, selesa dan teratur.

Bagi kebanyakan pelanggan, petugas beruniform merah di stesen mungkin kelihatan sama. Namun, di sebalik seragam tersebut, setiap individu memainkan peranan penting dengan tanggungjawab tersendiri dalam memastikan kelancaran operasi serta pengalaman perjalanan pelanggan yang terbaik.

Antaranya ialah Pegawai Kawalan Stesen atau nama rasminya Station Controller (SC), yang bertanggungjawab memantau keseluruhan operasi stesen serta bertindak pantas dalam menghadapi sebarang situasi kecemasan. Antara tugas utama seorang SC termasuk mengurus pembukaan dan penutupan stesen, memantau keadaan serta fungsi peralatan stesen, menangani gangguan operasi dan membantu pelanggan yang memerlukan bantuan

Mari kenali Encik Ahmad Shukri Asri, Station Controller (“SC”) bagi Laluan Putrajaya.

Di sebalik ketenangannya ketika menjalankan tugas, tersimpan pengalaman luas yang membentuk dirinya menjadi seorang petugas yang lebih cekap dan yakin dalam membuat keputusan.

Antara tugasan mencabar yang beliau pernah kendalikan ialah gangguan Automatic Sliding Door (ASD). Apabila berlaku gangguan pada ‘Sliding Door (ASD), beliau perlu bertindak segera dan memastikan masalah diselesaikan dalam tempoh ditetapkan, iaitu tidak melebihi lima minit. Hal ini kerana gangguan pada Automatic Sliding Door (ASD) boleh menjejaskan pergerakan tren yang akan memasuki platform.

Situasi ini boleh mengganggu operasi serta meningkatkan aduan pelanggan. Selain itu, salah satu tugasan yang mencabar ialah apabila sistem kebakaran stesen diaktifkan. Keadaan ini memerlukan beliau mengenalpasti punca sebenar sama ada ia adalah kegagalan peralatan atau kebakaran sebenar. Semua tugas perlu dilaksanakan mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan.

Selain mengurus gangguan operasi dan kecemasan pelanggan, Shukri juga bertanggungjawab dalam membantu pelanggan mendapatkan semula barangan yang terjatuh ke kawasan landasan.

“Macam-macam barang pernah saya ambil dari landasan, mahal atau murah. Itu adalah sebahagian daripada tanggungjawab saya. Kadang-kadang rasa mcm jadi Abang Bomba pula!”

Bagi Shukri, setiap cabaran yang berjaya diselesaikan memberikan kepuasan tersendiri kerana ia membuktikan bahawa usaha kecil yang dilakukan di belakang tabir mampu memberikan impak besar kepada pengalaman perjalanan penumpang.

“Pengalaman ini mengajar saya bahawa setiap cabaran merupakan peluang untuk terus belajar dan meningkatkan kecekapan. Saya sentiasa berpegang kepada prinsip disiplin, kerjasama dan pematuhan terhadap SOP dalam setiap tindakan. Bagi saya, kepuasan sebenar adalah apabila setiap pelanggan dapat meneruskan perjalanan dengan selamat dan lancar, hasil usaha serta komitmen seluruh pasukan di belakang tabir.”

Terima kasih Shukri di atas khidmat anda!

Loading Tender ...

Loading Profile ...