“Setiap pagi saya akan dapat nasi lemak daripada seorang penumpang” kata Encik Nor Azmi.
“Penumpang tersebut bekerja di Wisma Pantai dan akan mengambil bas di laluan 613 setiap hari pada pukul 7.00 pagi. Setiap kali menaiki bas, penumpang tersebut akan memberikan saya sebungkus nasi lemak sebagai tanda penghargaan.
“Namun, penumpang tersebut telah pencen 2 tahun lepas dan saya masih lagi terasa dihargai. Perkara seperti ini memberikan saya semangat untuk membawa penumpang setiap hari agar sampai ke destinasi yang dituju dengan selamat”, beliau menambah.
Begitulah sedikit coretan bermakna dari Encik Nor Azmi Bin Hanrjah @ Hamzah, 42, yang menggalas tugas selaku Kapten Bas Rapid Penang sejak hampir 14 tahun yang lalu.
Mungkin dari segi wang ringgit, nilai sebungkus nasi lemak itu tidaklah seberapa. Tetapi ianya tidak ternilai sebagai pembakar semangat untuk terus berdedikasi dalam tugasan buat beliau.
Encik Nor Azmi
Walaupun penumpang ‘misteri’ tersebut sudah tidak lagi menaiki bas kendaliannya, memori nasi lemak tanda penghargaan itu masih segar dalam ingatan beliau. Umpama pantun budi:
Bagaimana kalau tak ikat,
Kait dengan duri-durinya,
Bagaimana aku tak ingat,
Orang baik hati budinya.
Penghargaan dari para penumpang dan pengiktirafan oleh syarikat Rapid Penang adalah cerminan kepada etika kerja yang cemerlang oleh insan berpewatakkan ceria ini. Menurut beliau, untuk menjadi kapten bas, kunci utama adalah perlu berdisiplin, sabar dan mempunyai sifat berbudi bahasa terhadap penumpang.
Pengalaman pahit dan manis dalam bekerja adalah rencah kehidupan. Beliau yang juga merupakan seorang suami dan ayah kepada 3 cahaya mata ini pernah terlibat dalam kemalangan sewaktu bertugas. Pada ketika itu, ada sebuah kereta melanggar bas dari arah belakang. Namun, syukur ke hadrat Ilahi, nasib menyebelahi mereka bilamana Encik Nor Azmi dan penumpang tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Kepada para penumpang, saya mohon agar jangan melakukan aktiviti vandalisme yang boleh merosakkan bas seperti menconteng kerusi dan cermin bas. Selain itu, penumpang haruslah mematuhi kesemua peraturan-peraturan yang telah ditetapkan sewaktu berada di dalam bas”, pesanan terakhir beliau yang menutup tirai temubual bersama Tim Mobiliti.